Labels

Skip to main content

Perangkap maut pembaharuan semula bandar

 

Perangkap maut pembaharuan semula bandar

  1. Dalam sejarah Tanah Melayu sebelum Almarhum Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar pada tahun 1960, pembangunan mempunyai beberapa ciri.
  2. Pertama, pembangunan adalah sinonim dengan bandar. Hanya di bandar ada pembangunan dan kemudahan moden seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sekolah dan hospital.

  3. Kedua, bandar dibangunkan untuk tujuan perniagaan yang sekali gus menguntungkan bangsa pedagang dan penjajah.

  4. Ketiga, penduduk asal yang bukan daripada golongan peniaga akan tersingkir kerana tanah mereka diambil alih secara paksa dan tipu helah.

  5. Kalau kita baca sejarah mana-mana bandar pun di negara kita ini, penduduk asal sebelum dibangunkan adalah orang Melayu yang bercucuk tanam atau menangkap ikan.

  6. Ambil contoh Kuala Lumpur. Sebelum dibangunkan untuk pentadbiran, perniagaan dan perlombongan, ia didiami oleh orang Melayu yang bertani dan berniaga kecil-kecilan.

  7. Sejak proses perbandaran bermula, sedikit demi sedikit tanah orang Melayu dibeli atau diambil secara paksa oleh penjajah Inggeris dan oleh pelombong Cina yang bersekongkol dengan pembesar-pembesar Melayu.

  8. Sejak merdeka, terutamanya selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, barulah ada penglibatan kerajaan dalam pembinaan pangsapuri murah untuk golongan miskin seperti flat Loke Yew dan pangsapuri Jalan Pekeliling di Kuala Lumpur, Kampung Melayu dan Rifle Range di Georgetown dan Jalan Lumba Kuda, Johor Bahru.

Flat Loke Yew di Kuala Lumpur
  1. Memang betul macam kata bapak-bapak menteri, termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang keadaan pangsapuri yang disebutkan itu daif dan tidak selesa. Tetapi itulah yang termampu oleh penduduk miskin di bandar-bandar. 
  2.  Selepas 13 Mei, semakin ramai orang luar bandar, yang majoritinya Melayu, berpindah ke bandar. Ada segelintir berjaya naik menjadi kelas menengah bawah (lower middle class) tetapi majoriti kekal sebagai kelas bawah atau, ikut klasifikasi semasa, B40 (bottom 40). Mereka inilah yang terpinggir setiap kali berlaku pembangunan semula seperti Kampung Kerinci dan Kampung Abdullah Hukum.

  3. Hatta apabila dibangunkan semula oleh kerajaan secara usaha sama sekali pun, macam Pantai Hill Park di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, majoriti anggota kelas menengah rendah dan B40 tidak mampu memilikinya semula.

  4. Kalau Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 diluluskan, yang akan berlumba-lumba mengemukakan cadangan adalah sektor swasta yang bermotivasikan keuntungan.

  5. Kerajaan tidak akan mampu menyaingi mereka di segi kewangan dan kepakaran. Lihat sajalah kemajuan selaju siput Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara dan Perbadanan-perbadanan Kemajuan Negeri.

  6. Pertimbangankan pula fakta-fakta berikut. Perangkaan dari tahun 1989 hingga 2024 menunjukkan kenaikan 143 peratus dalam Indeks Harga Sebenar Hartanah Perumahan antara 2010 dan suku keempat 2024 atau purata 2.5 peratus setahun.

  7. Harga menengah (median) hartanah perumahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah RM560,000 menurut data jual beli antara Julai 2024 dan Jun 2025. Bandingkan pula dangan pendapatan menengah (median) isi rumah M40 sebanyak RM7,694 dan B40 sebanyak RM3,440. Natijahnya, tidaklah ramai yang mampu membeli rumah di bandar.

  8. Menurut pakar ekonomi dan pelbagai sumber congakan kewangan, sebuah isi rumah di Kuala Lumpur memerlukan pendapatan bulanan antara RM4,709 dan RM6,390 bagi membeli rumah berharga RM500,000. Ini ada mengambil kira garis panduan kewangan biasa iaitu tidak membelanjakan lebih daripada satu pertiga pendapatan isi rumah untuk membayar balik pinjaman perumahan.

  9. Kesimpulannya, sama ada RUU Pembaharuan Semula Bandar diluluskan atau tidak dan sama ada pembaharuan semula dilaksanakan oleh kerajaan atau swasta, peminggiran sebahagian besar penduduk B40 dan M40, yang majoritinya Bumiputera, pasti akan berlaku.

  10. Itu belum diambil kira pengambilan alih tapak kawasan-kawasan perumahan rakyat miskin untuk tujuan keuntungan semata-mata dan pesta liar (orgy) penjualan tanah milik kerajaan seperti yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

  11. Dilaporkan yang antara 2020 dan 2022 saja, sebanyak 52 bidang tanah milik kerajaan, termasuk rizab riadah dan kawasan hijau, telah diberikan atau dipajak kepada pemaju.

  12. Konspirasi “land grab” (rampasan tanah) ini lazimnya melibatkan persekongkolan dan rasuah. Jadi tidak hairanlah kalau banyak pihak curiga terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar dan Kerajaan Madani sendiri mula bimbang ia menjadi perangkaan maut kepadanya.

Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook Kadir Jasin.

 DATUK KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP.

Blog ini didedikasikan kepada Tun M bermula julai 2024 sebagai fokus utama

Comments