MGF10072025-TUN-M-24-681x454
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada sambutan Ulang Tahun Kelahiran yang ke 100 tahun di Kompleks Yayasan Perdana, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2025.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang umur yang panjang hingga mencapai usia ke-100 tahun hari ini.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu juga tidak menyangka masih diberi kesihatan yang baik dan mampu bekerja lagi sehingga kini.

“Saya pun tak sangka ada sampai 100 tahun tetapi saya bersyukur dan pada usia 100 tahun dapat bercakap lagi, bekerja lagi, alhamdulillah saya bersyukur.

“Saya tiada sasaran (tahun ini) cuma hendak bekerja sahaja untuk negara kita bukan untuk diri saya. Diri saya sudah habis, semua sudah dapat sampai 100 tahun tetapi kalau boleh apa yang boleh saya lakukan untuk negara kita, saya akan lakukan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran langsung dalam Podcast Dr. M Episod 10 sempena ulangtahun kelahiran ke-100 Dr Mahathir di semua platform di sini hari ini.

Podcast yang dijadual bermula pukul 10 pagi itu bagaimanapun tertangguh hampir sejam gara-gara berdepan masalah teknikal suara.

Dalam podcast yang dikendali moderator wartawan berpengalaman, Shamsul Akmar, Dr Mahathir turut berkongsi pengalaman sebagai perdana menteri sebanyak dua kali dengan menggunakan pendekatan sebagai seorang doktor.Kata beliau, apa yang dilakukan dengan ‘merawat’ negara dengan mencari punca ‘penyakit’ apabila berdepan masalah seperti krisis kewangan pada 1997.
 
Beliau menjelaskan, keputusan berani perlu dibuat untuk menambat ringgit ketika itu demi menyelamatkan negara walaupun langkah tersebut dikritik dunia.

“Memang takut. Tapi macam doktor jugalah, apabila berdepan dengan pesakit, ubat yang diberi tak semestinya 100 peratus berkesan. Kadang-kadang baik, kadang-kadang tidak.

“Ketika saya jadi doktor, saya kena tentukan penyakit dan cari ubat. Apabila jadi Perdana Menteri, negara pula yang ‘sakit’, saya guna pendekatan sama,” katanya.

 
MGF10072025-TUN-M-28-1-1024x683
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani duit pada sambutan Ulang Tahun Kelahiran yang ke 100 tahun di Kompleks Yayasan Perdana, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2025.

Dr Mahathir menambah, keputusan menetapkan kadar tukaran ringgit itu tidak dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya selepas mengadakan sesi rundingan dan konsultasi bersama pakar kewangan dan perniagaan.

“Saya tanya orang yang cekap dalam bidang kewangan dan perniagaan. Ramai kata jangan buat, sebab dunia tak terima. Tapi kalau tak buat pun, masalah tetap ada. Jadi, kita pilih jalan yang ada risiko tapi ada peluang untuk pulih,” jelasnya.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah dalam keluarga guru dan anak bongsu daripada sembilan beradik itu lebih mesra dengan panggilan Che Det.

Beliau yang mewarisi sifat disiplin tinggi dan semangat menuntut ilmu sejak kecil bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar sebelum melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan bergelar doktor.

Pada 16 Julai 1981, Dr Mahathir mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat bagi menggantikan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn.

Beliau menjadi perdana menteri paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun dan sepanjang tempoh itu, banyak sumbangan diberikan dengan salah satu legasi terbesar adalah Dasar Pandang Ke Timur selain Wawasan 2020 sehingga diberi gelaran Bapa Pemodenan Negara.

Sepanjang era kepimpinannya, antara pembangunan mega dibina seperti Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan projek kereta nasional, Proton yang dianggap ikonik.

Namun beliau juga tidak terlepas dengan ujian dalam pentadbirannya apabila berdepan krisis kewangan Asia sekitar 1997-1998 namun berjaya melepasi tempoh mencabar itu.

Pada 2018, setelah gabungan politik beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

Meskipun beliau kini telah bersara daripada dunia politik, negarawan itu masih aktif memberikan pandangan dan kritikan pedas sama ada menerusi tulisan dan program bual bicara. – MalaysiaGazette