PERANG TIGA PENJURU
Terkini, para pemimpin daripada kalangan musuh Islam mula menunjukkan kesombongannya kerana telah dirasuk oleh syaitan, khususnya daripada kaum Yahudi. Mereka daripada kalangan Musyrikin yang menyembah hawa nafsu kesyaitanan selain daripada Allah, dalam kehidupan mereka yang berwawasan dunia sahaja.
Adapun kumpulan munafiq pula sibuk menyebarkan fitnah dan membantu musuh yang nyata permusuhannya terhadap Islam, umat dan tanah airnya, dengan bertopengkan Islam.
Begitulah perang yang sedang berlaku dan berulang kini di negara Teluk Parsi dan Arab. Ia bermula dengan serangan terhadap kebangkitan yang berjenama Islam oleh semua musuh bukan Islam yang diharam dan dilarang di negara Islam termasuk negara Arab, tanpa membezakan kaum dan mazhab.
Pemimpin kuasa besar kini, Donald Trump, yang menunjukkan sifat takbur akibat telah dirasuk oleh syaitan dan manusia berideologi Zionis, sedang melancarkan serangan ganas secara bersekutu (Ahzab) dengan kerjasama Yahudi Ahli Kitab dan kumpulan Musyrikin baharu. Tujuannya bagi menghapuskan Islam dan semua kumpulan yang mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa yang menjadi tanah suci umat Islam. Kumpulan bukan Islam ini juga bertopengkan agama yang menolak Islam dan para anbiya’ bersama kitab petunjuk Allah Pencipta alam.
Banyak negara yang berjenama Islam, khususnya negara Arab dan Islam yang dikatakan mencapai kemerdekaan daripada penjajah meletakkan Islam dalam perlembagaannya tanpa berdaulat kepada Islam. Bahkan, Islam dianggap tidak mampu membawa kemajuan, sehingga mereka hanya melaksanakan sebahagian sahaja ajaran Islam dan meninggalkan sebahagian besar yang lain, khususnya urusan mentadbir negara yang menjadi amanah besar daripada Allah. Langkah ini merupakan langkah yang sama dilakukan oleh kaum Yahudi Ahli Kitab.
Bahkan, negara Arab dan berjenama Islam ini memberikan tempat di buminya untuk membina pangkalan tentera musuh yang kini bersama Zionis Israel, sedangkan Allah telah mengatakan bahawa merekalah yang paling bermusuh terhadap umat Islam.

Comments
Post a Comment