Labels

Skip to main content

Akhirnya Rakyat Yang Tanggung

 


 

Akhirnya Rakyat Yang Tanggung 
A Kadir Jasin 
1. Mafia korporat, Victor Chin Boon Long, Mr R, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Perdana Menteri Malaysia dan segala lembaga hitam di belakang tabir boleh berperang mati-matian dalam percaturan konsesi awam bernilai berbilion-bilion ringgit.
2. Masalahnya, yang akan tanggung beban adalah rakyat jelata. Walaupun MyKad dan pasport sedia ada sah hingga tamat tempoh, akhirnya mereka kena tukar juga. Dengan ciri yang lebih canggih, yuran pun mungkin lebih tinggi.
3. Syarikat-syarikat yang menjadi rebutan mafia dan penyerang korporat ini adalah penerima kontrak awam yang sangat lumayan.
4. Antaranya adalah NexG Berhad dan HeiTech Padu Berhad. Asalnya syarikat-syarikat ini dibangunkan oleh Bumiputera.
5. Seperti yang lazim, syarikat-syarikat Bumiputera banyak bergantung kepada projek kerajaan.
6. Apabila disenaraikan di Bursa Malaysia, sesiapa pun boleh beli saham mereka. Inilah pintu masuk yang digunakan oleh apa yang dikenali sebagai mafia korporat itu.
7. Mafia korporat ini ada duit tapi mungkin tidaklah banyak. Tapi mereka ada modal yang sangat berharga iaitu perhubungan mereka dengan watak-watak penting dalam politik, kerajaan, perkhidmatan awam, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
8. Bermodalkan perhubungan dengan orang dalam ini, mereka mengasak masuk ke dalam syarikat-syarikat yang dapat kontrak kerajaan. Dengan pengaruh ke atas politik, birokrasi dan pengawas pasaran, mereka boleh beli saham syarikat-syarikat terbabit secara diskaun, berhutang malah dengan percuma/gratis.
9. Kita tidak tahu, tetapi boleh jadi mereka ini mendapat restu pihak-pihak yang memegang kuasa, atas persefahaman keuntungan yang mereka jana akan diagih-agihkan untuk tujuan peribadi, anak bini, politik dan seumpamanya.
10. Syarikat-syarikat yang menjadi saranan mereka telah mendapat kontrak yang cukup besar daripada kerajaan. Kalau boleh diambil "komisen" dua, tiga peratus pun sudah kaya raya. Masuk potensi keuntungan modal (capital gain) lagi berbaloi.
11. NexG dapat dua kontrak yang jumlah besarnya dilaporkan RM2.4 bilion bagi membekalkan pasport antarabangsa Malaysia dan MyKad/National ID card dengan ciri keselamatan yang lebih baik.
12. HeiTech Padu pula dilaporkan mendapat kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional bernilai RM1.05 bilion untuk tempoh 60 bulan.
13. Dua buah syarikat ini saja sudah menjanjikan ratusan juta ringgit komisen dan subkontrak untuk dicedok, difarait dan diagih-agihkan.
14. Berkenaan watak-watak yang dikaitkan dengan geng mafia korporat ini, kita sudah pun mengenali mereka daripada pelbagai sumber rasmi, media massa dan media sosial.
15. Seperti Mafia Itali yang pernah menyusup masuk ke dalam sistem ekonomi dan politik Amerika Syarikat, mafia korporat Malaysia ini pun mempunyai talian politik yang cukup kuat.
16. Kesimpulannya, tidak kiralah Perdana Menteri campur tangan atau tidak, siapa menang dan siapa kalah, siapa dapat rasuah dan siapa bagi rasuah, siapa ditangkap, disiasat dan didakwa, siapa lari dan siapa tidak, akhirnya yang kena tanggung perbelanjaan adalah rakyat jelata yang minta MyKad dan pasport.
17. Silap-silap jadi macam lirik "Lagu Tiga Kupang":
"Raja dalam rumah buat kira-kira.
Suri dalam dapur makan roti gula."
Tapi yang kena patuk dek burung hitam adalah rakyat jelata.
Terima kasih.
 
Blog ini didedikasikan kepada Tun M bermula julai 2024 sebagai fokus utama. Memberi ruang untuk memuatkan sesuatu tentang pemikiran, sikap, tindakan, tulisan, pandangan dari seorang yang cukup berharga untuk negara ini. Semoga memberi sesuatu kepada pembaca.

Comments