Labels

Skip to main content

𝗢𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨

 

 


 

𝗢𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨

1.  Apakah bahaya yang dihadapi oleh orang Melayu? Bahayanya ialah kehilangan negara mereka. Bagaimana ini boleh berlaku?

2. Ia boleh berlaku kerana separuh dari Semenanjung sudah pun terlepas dari pemilikan orang Melayu. Kita tahu semua kawasan bandar sudah tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu. Calon Melayu tidak boleh bertanding di kawasan bandar.

3. Sekarang bandar-bandar membesar, tiga atau empat kali ganda. Dan kawasan pinggir bandar yang sudah jadi sebahagian dari bandar juga tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu. Mereka sudah jual tanah mereka.

4. Hampir semua dari ladang besar milik penjajah dahulu juga terlepas dari pemilikan Melayu. Demikian juga dengan kawasan perumahan mewah, kawasan industri, kawasan theme park, ladang-ladang pertanian dan lombong. Semuanya tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu. Hampir keseluruhan Pulau Pinang tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu.

5. Dengan kehilangan tanah milik orang Melayu, kawasan-kawasan pilihan raya Melayu juga akan berkurangan. Ini diburukkan lagi apabila orang Melayu enggan mengundi.

6. Di masa yang sama orang Melayu berpecah sehingga tidak ada parti Melayu yang mungkin menang cukup bilang untuk diri Kerajaan.

7. Sebaliknya jika orang Melayu bersatu dan meletak hanya satu calon sahaja bagi tiap kawasan, besar kemungkinan calon itu akan menang. Sudah tentu jika semua pengundi keluar undi kemenangan lebih terjamin.

8. Penyelesaian masalah yang dihadapi oleh orang Melayu memang ada. Caranya ialah dengan orang Melayu bersatu. Ketepikan parti atau NGO. Semua berada di bawah satu payung besar sebagai orang Melayu. Perjuangan mereka ialah untuk selamatkan Tanah Melayu ini sebagai Tanah Melayu.

9. Mampukah orang Melayu menyelamat orang Melayu dan negara mereka. Rata-rata didapati orang Melayu miskin. Kemiskinan menjadi orang Melayu lemah.

10. Tetapi orang Melayu berjaya menabung. Permodalan Nasional Berhad (PNB) dimiliki oleh orang Melayu dan tabung PNB berjumlah berbillion Ringgit. Demikian PNB dapat mendiri bangunan 118 tingkat yang menelan belanja berbillion Ringgit.

11. Jika orang Melayu berjaya mendiri Kerajaan, dana-dana yang dikuasai oleh Kerajaan boleh juga bantu mengatasi kemiskinan orang Melayu. Umpamanya Bank Negara memiliki reserve sebanyak USD120 billion. Ini sama dengan RM400 billion.

12. KWSP mengumpul hampir satu trillion Ringgit. KWAP juga mempunyai berbillion Ringgit. Tabung Haji juga memiliki berbillion Ringgit.

13. Untuk elak dari Tanah Melayu dijual, dasar boleh diperkenal bahawa penjualan tanah dibeku melainkan jika pembeli ialah dana-dana yang disebut di atas.

14. Walaupun tanah tidak boleh dijual, tetapi ia boleh disewa atau lease. Dengan itu projek-projek boleh diteruskan. Nilai tanah akan meningkat apabila dibangun. Pemilik tanah akan dapat hasil dari kenaikan nilai ini.

15. Walaupun tindakan-tindakan ini boleh selamatkan pemilikan tanah oleh orang Melayu, tetapi penyelesaian masalah tidak dapat di atasi. Akhirnya masalah kemiskinan orang Melayu perlu diatasi. Kemiskinan boleh diatasi hanya dengan orang Melayu mengambil bahagian dalam perniagaan dan perusahaan. Untuk ini sikap dan sifat yang ada pada orang Melayu perlu diubah.

16. Sebenarnya Malaysia kaya dengan berbagai punca kekayaan. Tanah umpamanya adalah asset yang boleh perkayakan orang Melayu. Demikian juga sungai dan laut. Iklim Malaysia juga sesuai dengan aneka jenis perniagaan dan perusahaan.

17. Tetapi tidak banyak dari aset-aset ini dieksploitasi oleh orang Melayu. Sebaliknya mereka rela supaya aset ini dieksplotasi oleh orang asing.

18. Jika orang Melayu berhasrat untuk kurangkan kemiskinan, cara yang terbaik ialah dengan mereka berusaha eksploitasi aset mereka sendiri ataupun mengambil bahagian dalamnya.

19. Nilai hidup pegangan orang Melayu juga perlu dibetulkan. Kegemaran terhadap cara-cara yang mudah menyebabkan orang Melayu pilih kerja bergaji dan tidak perniagaan. Nilai hidup ini perlu dialih supaya sanggup hadapi yang tidak mudah dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan.

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
19 November 2025

Blog ini didedikasikan kepada Tun M bermula julai 2024 sebagai fokus utama. Memberi ruang untuk memuatkan sesuatu tentang pemikiran, sikap, tindakan, tulisan, pandangan dari seorang yang cukup berharga untuk negara ini. Semoga memberi sesuatu kepada pembaca.

Comments