𝗔𝗥𝗔𝗞 𝗗𝗜𝗛𝗜𝗗𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗦𝗘𝗦𝗨𝗔𝗧𝗨 𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗔𝗧𝗔𝗨 𝗝𝗔𝗠𝗨𝗔𝗡
Assalamualaikum
1. Jika benar majlis kerajaan menghidangkan arak, pada pandangan saya perkara ini amat mengecewakan kerana bertentangan dengan syariat dan pegangan Islam serta konsep Islam Madani yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia. Maka, penyajian arak dalam majlis rasmi kerajaan yang dihadiri oleh orang Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai-nilai yang dijunjung oleh majoriti rakyat Malaysia. Pada hemat saya, penyajian arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima, tidak kira sama ada ia dibiayai menggunakan dana kerajaan mahupun ditaja oleh pihak industri."
2. Penganjuran majlis sedemikian pada hakikatnya menyusahkan banyak pihak. Para kakitangan awam Islam yang bertugas terpaksa menguruskan minuman haram. Walaupun mungkin majlis tersebut bersifat antarabangsa atau melibatkan tetamu bukan Islam, kerajaan perlu bijak dalam menjaga sensitiviti agama dan imej sebagai pemerintah di negara majoriti Islam. Tindakan seperti ini boleh menimbulkan kekecewaan rakyat dan membuka ruang kepada polemik yang merugikan.
3. Muslim yang bertakwa wajib menjauhkan diri daripada menghadiri majlis-majlis seumpama ini apatah lagi jika diadakan dalam negara ini tanpa sebarang keperluan. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 90 telah memerintakan umatnya supaya menjauhi najis arak ini iaitu:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْاَنْصَابُ وَالْاَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطٰنِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
4. Budaya luar negara tidak boleh dijadikan alasan atau justifikasi dengan isu ini. Walaupun pemimpin negara kita mungkin dijemput menghadiri mesyuarat atau taklimat di luar negara yang menghidangkan minuman keras. Walau bagaimanapun, mereka tetap terikat untuk menolaknya dengan tegas demi memelihara maruah diri dan mematuhi tuntutan agama.
5. Saranan saya semua pihak hendaklah sentiasa patuh kepada garis panduan penganjuran majlis rasmi kerajaan yang melarang hidangan minuman keras, agar setiap aspek pelaksanaannya mematuhi nilai, adab serta prinsip yang selaras dengan ajaran Islam.
6. Malaysia sebagai negara pelbagai kaum atau majmuk tidak perlu mengorbankan nilai Islam dalam menganjurkan majlis rasmi kerajaan. Walau bagaimanapun, hak bukan Islam untuk mengambil minuman keras secara peribadi tetap dihormati, namun perkara ini tidak wajar dijadikan hidangan dalam majlis kerajaan
Daripada;
𝐒𝐀𝐇𝐈𝐁𝐔𝐒 𝐒𝐀𝐌𝐀𝐇𝐀𝐇 𝐌𝐔𝐅𝐓𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐀𝐇𝐀𝐍𝐆
𝐈𝐤𝐮𝐭𝐢 𝐊𝐚𝐦𝐢 :
https://mufti.pahang.gov.my/sumber/media/isu-arak-dihidangkan-dalam-sesuatu-majlis-atau-jamuan
𝐊𝐞𝐫𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐤𝐡𝐛𝐚𝐫 :
https://malaysiagazette.com/2025/10/06/isu-hidang-arak-jangan-korban-nilai-islam-mufti-pahang/
"Memasyarakatkan Ilmu, Mengilmukan Masyarakat”
#Pahang #muftipahang #MajuTerusPahang #KerajaanNegeriPahang #Pahang1st #PahangStedi
mufti.pahang.gov.my (https://mufti.pahang.gov.my/sumber/media/isu-arak-dihidangkan-dalam-sesuatu-majlis-atau-jamuan)
Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pahang - Isu Arak Dihidangkan Dalam Sesuatu Majlis Atau Jamuan
Jabatan Mufti Negeri Pahang, Mufti Pahang, Kemusykilan Agama, Khutbah Jumaat Negeri Pahang
Comments
Post a Comment