PEMBOHONG BESAR 1. Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 adalah seorang pembohong besar. 2. Beliau menyatakan di Jakarta: “Tetapi jika mereka sendiri mengaku – bukan sebagai satu tuduhan tetapi sebagai satu pengakuan – bahawa ‘saya (Mahathir) atau anak saya memiliki RM1.2 bilion, dan seorang lagi RM4 bilion’, maka wang itu mesti dipulangkan. “Anda mesti pulangkan, kecuali anda boleh menjelaskan dengan jelas dari mana datangnya wang tersebut.” Saya tidak pernah mengaku, dan saya telah menjelaskan dari mana datangnya harta saya. 3. Dari mana beliau memperoleh angka dan kenyataan ini? Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah menjalankan siasatan penuh dan telah menyatakan bahawa: “Aset yang diisytiharkan oleh Mokhzani dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion manakala Mirzan mengisytiharkan sebanyak RM246.2 juta kepada SPRM.” 4. Dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menyatakan bahawa SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Mokhzani dan Mirzan seperti di atas. 5. Adakah Azam Baki berpuas hati tanpa mengetahui sumber kekayaan tersebut? SPRM telah menyoal anak-anak saya berkali-kali, dan setiap kali mengambil masa berjam-jam. Adakah SPRM menyoal mengenai sumber kekayaan yang diisytiharkan itu? 6. Azam Baki tidak bercakap mengenai wang tunai. Beliau merujuk kepada nilai kekayaan kedua-dua mereka. Nilai ini terdiri daripada hartanah, saham, liabiliti dan sebagainya yang diperoleh sepanjang lebih 20 tahun menjalankan perniagaan. Hartanah dan aset-aset sebegini sememangnya meningkat nilai dari semasa ke semasa. 7. SPRM tidak pernah menyatakan bahawa sumber kekayaan tersebut tidak jelas atau tidak sah. SPRM dan Azam Baki tidak mungkin menyatakan mereka berpuas hati sekiranya pengisytiharan itu tidak jelas atau tidak sah. 8. Mengapa saya atau anak-anak saya perlu mengaku sesuatu yang tidak benar? Saya atau anak-anak saya tidak pernah mengisytiharkan memiliki RM1.2 bilion atau RM4 bilion. SPRM menyatakan bahawa kami mengisytiharkan bahawa kekayaan Mokhzani bernilai RM1 bilion dan Mirzan sebanyak RM246.2 juta. Dan SPRM menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan pengisytiharan tersebut. 9. Adakah Anwar menuntut supaya kami menjual semua harta dan menyerahkan hasilnya kepada Kerajaan? Atas dasar apa beliau membuat tuntutan ini? 10. Bagi demonstrasi pada 26 Julai, ia bukanlah untuk menyokong saya atau anak-anak saya. Rakyat turun ke jalan untuk mendesak Anwar berundur. Mereka tidak mahu beliau kerana menjadi Perdana Menteri telah menyebabkan penderitaan yang besar dalam kalangan rakyat. Sekiranya beliau tidak percaya bahawa rakyat tidak mahukan beliau sebagai Perdana Menteri, maka beliau patut bubarkan Parlimen dan adakan Pilihan Raya Umum. Yang turun berdemo itu bukan Ahli Parlimen, jadi usul di Parlimen tidak relevan. DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 5 Ogos 2025
Comments
Post a Comment