Monday, 6 September 2021

sidang pertama

PERSIDANGAN PERTAMA MAJLIS PEMULIHAN NEGARA

1. Hari ini saya telah bertemu secara maya dengan 18 tokoh dan pakar-pakar dalam bidang kesihatan, ekonomi, perundangan dan politik yang telah saya cadangkan sebelum ini untuk menjadi ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN).
2. Saya percaya mereka yang hadir bersetuju menyertainya kerana mereka juga merasa perlu melakukan sesuatu untuk membantu Negara ketika menghadapi bencana ini.
3. Perlu diingat, ketika saya cadang penubuhan MPN ini pada 10 Jun, kes baharu yang direkod pada hari itu adalah 5,671 dan kematian seramai 73.
4. Semalam, kes baru mencapai rekod tertinggi sebanyak 19,819 dan kematian seramai 257 kes, juga merupakan rekod tertinggi setakat ini.
5. Dari tempoh memberi cadangan sehingga sekarang selama dua bulan, jumlah kes dan kematian meningkat lebih 3 kali ganda.
6. Bagi saya dan rakan-rakan, kita sudah tidak boleh menunggu tanpa berbuat apa-apa sementara kes-kes tersebut meningkat dengan begitu mendadak.
7. Seperti mana rakyat Malaysia lain berusaha membantu mereka yang susah yang telah menaikkan bendera putih, kami merasa perlu berusaha mencari dan memberi penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat dan Negara.
8. Bagi kami, apabila kes baru COVID-19 meningkat lima angka dan hari ini melebihi 20,000 kes, Negara sudah menaikkan bendera putih.
9. Saya dan rakan-rakan tidak boleh duduk diam dan membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki, kami akan memberi pandangan dan diharap akan diguna pakai oleh Kerajaan.
10. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, MPN ini tidak mempunyai kepentingan politik parti atau individu melainkan untuk mencari jalan untuk membantu Negara mengatasi bencana.
11. Kita boleh berterusan mengkritik Kerajaan tetapi ia tidak menyelesaikan masalah dan yang akan terus menderita ialah rakyat.
12. Adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak kami jika kami mempunyai cadangan dan pandangan yang dapat membantu tetapi memilih untuk mendiamkan diri. Bagi kami di dalam MPN, ini adalah usaha dan khidmat kami kepada Negara.
13. Jika usaha kami dapat membantu rakyat dan Negara, ini bermakna kami telah melaksanakan tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia.

 



fb tun dr mahathir

No comments:

Post a Comment

SOGOK

      SOGOK 1. Ada orang yang berpendapat dirinya kebal. 2. Curi duit pun tak akan sesiapa bertindak. 3. Tetapi akhirnya ia dipenjara juga. ...