Saturday, 3 June 2023

soal siasat

 


PUTRAJAYA — Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan berusia 98 tahun bulan depan, disoal siasat oleh empat pegawai polis hari ini (Jumaat) atas dakwaan “cuba menjatuhkan kerajaan” Anwar Ibrahim.

Difahamkan ia ada kena mengena dengan penglibatan beliau dengan sebuah NGO Melayu iaitu Proklamasi Orang Melayu (POM), yang dilancarnya 19 Mac lalu.

Dr Mahathir difahamkan berkata dalam satu pertemuan, selepas soal siasat itu “takkanlah saya nak bercakap soal orang Melayu pun tak boleh?

“Kalau nak soal saya, dakwa saya dalam mahkamah. Di situ saya akan bercakap…” kata beliau.

POM diwujudkan setelah Dr Mahathir melihat orang Melayu berpecah kepada banyak puak dalam parti-parti politik sehingga menjadi minoriti di negara sendiri.

Sejak ditubuhkan POM, Dr Mahathir telah keluar dari ke semua parti politik yang disertainya termasuk Pejuang, Gerakan Tanah Air (GTA) dan Putra.

Difahamkan beliau akan bergerak selaku seorang negarawan bagi menyatupadukan bangsanya Melayu.

“Saya ada sedikit masa lagi (untuk hidup), jika saya hidup lagi semasa PRU16 kelak mungkin saya sudah tidak tahu apa saya cakap. Biarlah sisa yang ada ini saya lakukan untuk menyatukan semula orang Melayu,” kata Dr Mahathir, yang dipetik bebasnews dalam satu majlis.

BebasNews difahamkan gerakan Proklamasi Orang Melayu kini sudah mendapat sokongan banyak pertubuhan-pertubuhan Melayu serta parti-parti politik Melayu.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan, Dr Mahathir Mohamad disoal siasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, yang menyifatkan soal siasat itu sebagai “intimidasi” terhadap Mahathir, berkata siasatan tertumpu kepada laporan yang dibuat mengenai ‘Proklamasi Melayu’ – kempen terbaru bekas ahli parlimen Langkawi itu.

“Kami dimaklumkan enam laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini terhadap Tun (Mahathir) dan Proklamasi Melayu.

“Membincangkan apa yang ada dalam perlembagaan, hak orang Melayu dilindungi dan diperuntukkan secara perlembagaan. Ia satu bentuk kebebasan bersuara, selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Ini hanyalah intimidasi polis terhadap Tun,” kata Rafique kepada Malaysiakini.

Rafique berkata dia menemani Mahathir ketika memberi keterangan kepada empat pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di Yayasan Albukhary sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Soal siasat tamat kira-kira jam 11.10 pagi, tambahnya.

“Mahathir memberikan kerjasama sepenuhnya, dia tidak menghalang polis daripada merekodkan kenyataannya.

“Dia membuat pendiriannya dengan sangat jelas – dia akan menjawab mana-mana, jika ada, pertuduhan di mahkamah undang-undang. Dia sangat spesifik mengenainya,” katanya.

Proklamasi Melayu adalah inisiatif terbaru Mahathir yang bertujuan untuk “menyatukan dan menyelamatkan masyarakat Melayu”.

Mahathir berkata pengisytiharan itu adalah kempen kesedaran kepada orang Melayu untuk memaklumkan bahawa mereka telah “hilang kuasa”.

— BebasNews

No comments:

Post a Comment

𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚

     𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚 1-Saya gembira Ketua Polis Negara (KPN) telah memberi amaran kepada polis yang menjaga VVIP ...