Monday, 12 June 2023

cerita sanusi

 


SPM: Keputusan SPM saya kurang baik berbanding best student kelas saya Dr Fatimah Hj Mat Amin. Dia 15 (P1) saya 27 (P2). Tetapi saya bersyukur kerana keputusan itu pun telah melebihi usaha saya sendiri. Saya kurang mengayuh, berharap kepada lajak sahaja. Di laluan berbukit saya tuntun saja...
Saya diberhentikan daripada sekolah berasrama penuh pada pertengahan tingkatan empat, diberi peluang menyambung persekolahan di SM Sik. Ada satu saja kelas aliran sains, pelajar lebih kurang 30 orang.
Saya lebih banyak 'bersastera' belajar tentang kehidupan di luar daripada kurikulum subjek asas di sekolah. Saya berkawan dengan brader penjual burger depan sekolah, Abg Art roti canai murtabak di Pekan Sik, Tajul tauke Family Fried Chicken (Dato' Mohd Tajuddin Abdullah), dan ramai peniaga pasar malam.
Ada subjek yang tidak dapat masuk kepala sama sekali seperti matematik tambahan (Cikgu Suaidi Saad) dan fizik. Yang saya ingat tentang fizik hanyalah Cikgu Hajjah Noraini😅. Kimia pulak saya ingat Cikgu Zainal Abidin (Cikgu Non) dan Biologi saya ingat Cikgu Hj Yusof Desa (Allahyarham).
Saya minat subjek geografi dan Cikgu Miskin Raboo, isterinya Cikgu Hjh Jamnah Pairan (BM). Sir Prasad mengajar bahasa Inggeris, Ust Abdul Hapis (Ust Ramli Hj Ibrahim) mengajar Agama Islam. Cikgu Azizah, Cikgu Asri ( matematik moden) Cikgu Hjh Najmi, Cikgu Ghazali Hashim (Allahyarham)... semua cikgu ada jasa masing-masing.
Semasa cuti penggal untuk ke tingkatan lima, saya ikut rakan sekampung bekerja awak-awak bot bilis di Taman Intan Sg Petani. Saya bertahan 2 minggu sahaja tidur berak atas bot bilis. Awak-awak bot bilis ramai yang hisap ganja dan main kad. Saya takut merosakkan diri jika lebih lama di situ, saya minta berhenti. Tolak duit yang dah pinjam $50, baki tinggal $34. Sehari -$7.00 saja.😅
Kemudian saya jadi buruh binaan di Tanah Liat, menumpang rumah sewa kawan di Kubang Semang. Berjalan kaki menyusur landasan keretapi dengan Hamid Panjang, jadi capkang membancuh simen, angkut bata, tarik timba simen naik ke tingkat dua sebuah banglo cina. Umur saya 16 tahun.
Hari Ahad cuti, saya ikut taukey cina itu ke kilang, angkut sampah dan cuci setor. Dia jadi vendor kilang pakaian sukan jenama Reebok, bawa balik pakaian siap untuk dimasukkan ke dalam bungkusan. "Ini barang untuk hantar luar negeri saja ooo." kata taukey. Saya menitik air liur teringinkan track suit berjenama itu.
Saya masuk semula ke tingkatan lima agak lambat kerana asyik bekerja jadi buruh. Sewaktu di tingakatan lima, saya ikut pula Zaharin budak kelas lima sastera bekerja dengan Tajul (Dato' Tajuddin Abdullah) pada hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat berniaga ayam goreng.
Jam 4 petang sudah beroperasi di pasar malam - Sik, Kupang, Bukit Selambau, Yan dan Jeniang. Jam 12 baru sampai ke rumah sewa. Masa mana saya belajar hal-hal dalam buku sekolah? Mungkin suku saja alam persekolahan saya berada di sekolah. Selebih saya mencelupkan diri dalam semua persekitaran di luar. Ramu serba serbi, jadi serba boleh sekadar serba sikit.
Saya masuk belajar semula di tingkatan enam di Sek Men Derma, Kangar Perlis. Itu saja kelayakan terbaik SPM saya. Kali ini lebih fokus tetapi tidak 100%.
Dunia luar sekolah saya alih kepada aktiviti ko-kurikulum pula - sukan olahraga, ragbi, forum remaja, nasyid, ketua pengawas asrama, surau, mengenal budaya dan berkawan rakan pula. Ada satu hari saja sepanjang hampir dua tahun di tingkatan enam itu saya tidak tertidur dalam kelas - 21 April 1993. Tarikh tunggal itu kekal dalam ingatan menjadi sejarah.
STPM saya cukup makan saja untuk masuk U. Saya tidak pernah cemerlang dalam subjek apa sekalipun, semuanya biasa-biasa saja melainkan subjek Bahasa Melayu yang saya kekal dapat 'A' sewaktu SPM dan STPM. Selain BM, saya kuasai sedikit subjek geografi, sejarah dan pengajian am. Ekonomi setakat lulus Principle E saja.
Di universiti pun saya aktif berpersatuan, memimpin pertubuhan dan kelab mahasiswa, banyak aktiviti luar bilik kuliah. Semua kertas kursus lulus, tidak corot tidak juga top. Kursus Statistik dan Kaedah-kaedah Penyelidikan (Dr Tiun Ling Ta) saja saya terpaksa mengulang di semester 3, bersama ramai pelajar lain. Itu kes biasa. Akhirnya bergraduasi juga.
Kita dibina oleh jalan yang kita lalui, apa yang kita tekuni dan kita sambillewakan. Semua itu adalah mata pelajaran untuk menempuh dan membina masa depan. Serba serbi serba boleh serba sikit pun mampu jadi bekal hidup yang baik walaupun tiada deretan A pada sijil peperiksaan.
Jika ada deretan A juga bersama pengalaman lain tentulah lebih baik. Tapi deretan A sahaja tanpa adunan rempah ratus dari luar kelas serba sikit itu akan menjadikan kita gagal memahami istilah 'bodoh-bodoh' dalam konteks ia diungkapkan. Lalu kita menjadi pandai-pandai dalam dunia kita sendiri saja.
Adik-adik yang dapat result SPM kelmarin saya ucapkan selamat menempuh kehidupan. Keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan harus berhubung jalin dengan kehidupan sebenar.
Kepada yang kurang cemerlang, jangan putus asa, SPM bukan penamatnya, ia baru bermula. Kita masih punya waktu menganyam masa depan kita sepanjang laluan. Belajar adalah proses sepanjang hayat, bukan di sekolah sahaja. Cuma dalam dunia hari ini, kita perlu pantas, tidak boleh culas, bukan sekadar bangun tapi bingkas!
Akhir sekali, Allah swt lah yang menyusun hidup kita, menentukan segalanya, kita hanya menjalani dengan ihktiar usaha dan doa...
 

No comments:

Post a Comment

SOGOK

      SOGOK 1. Ada orang yang berpendapat dirinya kebal. 2. Curi duit pun tak akan sesiapa bertindak. 3. Tetapi akhirnya ia dipenjara juga. ...