Labels

Skip to main content

SG4 berpotensi besar gegar ekonomi negara

 

 Dr Mahathir sifatkan gabungan negeri SG4 berpotensi besar gegar ekonomi negara
 

​Hakim Mahari dan Adlina Sharudin
am@hmetro.com.my

 


 ​Kuala Lumpur: Empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) State Government 4 atau SG4 disifatkan sebagai 'gergasi tidur' yang kini sedia untuk bangkit dan menggegar landskap ekonomi negara jika semua potensi serta sumber diperkasakan sepenuhnya.

​Perkara itu ditegaskan menerusi teks ucapan khas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dibacakan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, pada Sidang Kemuncak SG4 yang berlangsung hari ini.

​Dalam ucapan terbabit, Dr Mahathir yang juga Penasihat SG4 memohon maaf kerana tidak dapat menyampaikan sendiri perutusan berkenaan berikutan faktor kesihatan.

​"Saya memohon maaf kerana masih belum pulih sepenuhnya dan memohon anak saya, Mokhzani, untuk menyampaikan ucapan ini bagi pihak saya.


​"Bagaimanapun, saya amat berharap forum hari ini menjadi tanda aras baharu dalam usaha meletakkan SG4 sebagai entiti yang diterajui pengurusan mantap, berdaya saing, inovatif, mampan dan berpandangan jauh," kata Dr Mahathir.

​Beliau menjelaskan bahawa gabungan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu mempunyai kekuatan tersendiri dengan populasi melebihi 5.7 juta penduduk serta keluasan tanah merangkumi lebih 38,000 kilometer persegi.

​"Sejak SG4 diilhamkan dan direalisasikan, pemimpin negeri-negeri ini semakin sedar akan potensi yang mereka miliki serta sejauh mana jangkauan yang boleh dicapai.

​"Sekiranya empat negeri ini dapat menyatukan tenaga, menggabungkan sumber dan saling melengkapi, slogan 'the sky is the limit' (tiada batasnya) bukan lagi sekadar kiasan. SG4 mempunyai saiz, kawasan, rakyat dan infrastruktur yang cukup untuk berkembang menjadi zon ekonomi yang produktif serta menguntungkan," tegas beliau.

​Mengulas mengenai potensi sumber mineral, ucapan itu menyorot kekayaan unsur nadir bumi (REE) di negeri SG4 yang diiktiraf mempunyai simpanan tertinggi di negara ini dan kini menjadi perhatian pelabur.

​"Isu utama sekarang bukan sekadar mengekstrak dan menjual bahan mentah secara terus untuk hasil serta-merta bagi mengisi kantung negeri.

​"Sebaliknya, perancangan perlu dibuat untuk menambah nilai (value-add) kepada mineral ini bagi melipatgandakan hasil pendapatan negeri. Hanya dengan cara ini projek berkenaan menjadi mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat," jelasnya.

​Selain sumber mineral, Dr Mahathir memuji kepimpinan negeri SG4 yang mula beralih daripada aktiviti ekonomi tradisional kepada sektor baharu bernilai tinggi.

Kedah yang sinonim dengan penanaman padi kini mula menstruktur semula hala tuju ekonominya sebagai hab pembuatan. Kelantan mula menerapkan pendekatan komersial dalam sektor pertanian berbanding sara diri.

​Terengganu pula tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada royalti petroleum sebaliknya meneroka sektor hiliran, manakala Perlis memanfaatkan potensi perdagangan rentas sempadan serta kebangkitan perniagaan kafe dan inap desa gaya hipster.

​Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menepis persepsi kononnya masyarakat Melayu-Islam di empat negeri berkenaan kurang berdaya saing atau tidak pandai dalam bidang perniagaan.

​"Jika perbandingan dibuat mengikut sempadan, ia mungkin kelihatan sedemikian. Namun jika dilihat daripada sudut rakyatnya, usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya terdiri daripada anak-anak jati negeri SG4.

​"Orang Melayu sebenarnya berada pada posisi terbaik untuk menjadi peniaga hebat kerana dibimbing oleh ajaran Islam. Islam sentiasa mengingatkan balasan berat bagi mereka yang menipu atau mencuri, dan kejujuran adalah nilai tertinggi. Kebersihan juga adalah asas kehidupan Muslim," katanya.

​Beliau bagaimanapun meluahkan rasa terkilan kerana terdapat sebilangan individu yang memilih jalan pintas dan terbabit dengan rasuah demi mengaut keuntungan cepat.

harian metro

Blog ini didedikasikan kepada Tun M bermula julai 2024 sebagai fokus utama. Memberi ruang untuk memuatkan sesuatu tentang pemikiran, sikap, tindakan, tulisan, pandangan dari seorang yang cukup berharga untuk negara ini. Semoga memberi sesuatu kepada pembaca.

Comments