Zaman Edan Di Negeri Sembilan
1. Betul jugalah kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, "ini dikatakan zaman edan, separuh gila..."
2. Beliau berkata demikian pada 22 November, 2024 dalam ucapan memperingati ulang tahun kedua Kerajaan Madani.
3. Sejak itu, banyak kejadian gila dan separuh gila terjadi. Maksud saya, bukan orang gila mengamuk atau berbogel tetapi kerja gila atau separuh gila yang dibuat oleh orang yang siuman. Kerja dan perbuatan yang tidak masuk akal.
4. Apa yang sedang berlaku di Negeri Sembilan sekarang boleh dimasukkan ke dalam kategori itu. Kuasa membuatkan banyak manusia gila.
5. Kalau puncanya pelaksanaan Adat Perpatih, serahkanlah kepada yang hak. Kenapa dibawa masuk ke dalam gelanggang politik?
6. Atau sengaja hendak keruhkan suasana supaya boleh ambil kesempatan menangguh di air keruh?
7. Tidak masuk akal Barisan Nasional (BN) tiba-tiba tarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Pakatan Harapan (PH), Aminuddin Harun, setelah dibagi macam-macam habuan oleh Kerajaan Madani.
8. Nampaknya apa yang Umno buat kepada Muhyiddin Yassin pada tahun 2021, ia buat kepada Aminuddin sekarang.
9. Apabila ketuk Aminuddin di Negeri Sembilan, takkan Anwar di Putrajaya tak rasa apa-apa? Sikit-sikit mesti rasa.
10. Bukan setakat hendak jatuhkan Kerajaan PH, Umno nampaknya bercita-cita tubuh kerajaan negeri yang baru dengan bantuan Perikatan Nasional (PN).
11. Adakah perkembangan di Negeri Sembilan ini permulaan kepada pengakhiran kerjasama BN-PH dan permulaan kepada gandingan BN-PN? Atau Umno-BN akan "go solo".
11. Umno sudah dapat apa yang boleh diperas sedut daripada kerjasama dengan PH. Ahmad Zahid Hamidi dapat jadi Timbalan Perdana Menteri, dapat DNAA ke atas 47 kes prima facie Akal Budi dan baru-baru ini dibebaskan terus. Apa lagi yang beliau mahu atau yang Anwar boleh bagi?
12. Ahmad Zahid mungkin akan bermain wayang ketoprak dalam krisis Negeri Sembilan ini supaya tidak nampak mengkhianati mentornya. Tetapi beliau tentu tahu yang sentimen majoriti ahli Umno dan orang Melayu mengenai kerjasama dengan PH adalah negatif.
13. Kalau Umno-BN kekal juga dengan Anwar, PH dan Kerajaan Madani, segala masalah yang Anwar, PH dan Kerajaan Madani hadapi akan turut terbeban di atas bahu Umno-BN. Orang Umno sendiri, kecuali beberapa kerat oportunis, tidak menerima persekedudukan dengan DAP.
14. Umno-BN tersepit antara dua kuasa besar politik Malaysia - PH yang ditunjangi DAP dan PN yang berpaksikan Pas.
15. "Go solo" ia akan berdepan dengan PN. Rekod Pilihan Raya Umum 2022 dan Pilihan Raya Negeri 2023 tidak memberi prospek positif kepadanya. Umno-BN dibelasah teruk oleh PN dalam kedua-dua pilihan raya itu.
16. Sementara itu, politik Negeri Sembilan boleh tergantung dalam perubutan kuasa dan pengaruh yang melibatkan pemegang adat, istana dan pentadbiran.
17. Anwar berkata, buat masa ini, tidak perlu bubar Dewan Undangan Negeri untuk adakan pilihan raya baru. Beliau sedar risiko PH kalah adalah besar.
18. Apa-apa pun, proses demokrasi dan perundangan sudah terencat. Persidangan DUN ke-15 telah ditangguhkan tanpa perbahasan. Tidak ada tarikh baru diumumkan.
Terima kasih.
A. Kadir Jasin

Comments
Post a Comment