Labels

Skip to main content

TINDAKAN MENGGAGALKAN PETA BAHARU ZIONIS

 


LANGKAH negara tahaluf yang dikepalai Arab Saudi menyerang kerajaan di wilayah selatan Yaman yang diisytiharkan berjaya menggagalkan peta baharu Zionis dan sekutunya yang dicipta bagi menggantikan peta Sykes-Picot. Tindakan itu laksana mencabut duri dalam badan yang kalau dibiarkan akan membawa penyakit yang merosakkan badan.

Tindakan menghapuskan negara yang ingin dihidupkan semula itu merupakan salah satu perancangan perdamaian agama Abraham yang dilancarkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke arah melakukan normalisasi terhadap negara haram Israel dan mengiktirafnya secara politik yang halus.

Langkah tersebut adalah sama dengan penubuhan negara baharu bersama pengiktirafan Israel terhadap negara tersebut yang dipecahkan daripada Somalia, iaitu negara yang dinamakan Somaliland.

Keadaan ini mengulangi penubuhan negara komunis di Yaman Selatan dahulu oleh blok Barat sebagai rantaiannya. Walaupun blok Barat itu antikomunis, tetapi mereka melihat maslahat politik adalah lebih diutamakan.

Hal ini ternyata apabila mereka mengangkat Aidarus al-Zubaidi, salah seorang mantan pemimpin negara Yaman Selatan dahulu dan kumpulannya ditabalkan semula bagi menubuhkan kerajaan dalam kerajaan yang telah sedia ada, dengan mengambil peluang daripada krisis perpecahan dunia Arab secara umum dan dalaman Yaman secara khusus.

Mereka mengulangi cara dahulu, iaitu memberikan kemerdekaan kepada Yaman Selatan bagi memecahbelahkan Yaman dengan menubuhkan negara berasingan yang berideologi komunis, walaupun blok Barat itu antikomunis dan berperang dengan mereka. Hal ini demikian kerana mereka mengambil kira kedudukan Yaman Selatan yang sangat strategik, kerana terletak di laluan perdagangan antarabangsa yang berada di Bab al-Mandab melalui Laut Merah. Langkah tersebut dilakukan demi menguatkan penguasaan penjajahan Zionis dan sekutunya.

Langkah Saudi dan tahalufnya menghancurkan tindakan penjajah itu wajib disokong oleh negara Islam dan Arab demi keselamatan dan keamanan serantau.

Penubuhan semula negara komunis itu termasuk dalam langkah mendukung agenda Abraham (Nabi Ibrahim AS) bagi menggoda umat Islam umumnya dan Arab khususnya. Namun, umat Islam seluruhnya tidak sebodoh yang dilihat oleh mereka dengan fikiran yang jahil terhadap Islam dan penganutnya. Umat Islam daripada semua mazhab dan bangsa tetap menolaknya, kerana al-Quran yang dipelihara Allah tidak boleh dihapuskan. Firman Allah SWT:

مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٨ وَدَّت طَّآئِفَةٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يُضِلُّونَكُمۡ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ٦٩

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah), dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang Musyrik. (67) Sesungguhnya, orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad) berserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah ialah Pelindung semua orang yang beriman. (68) Segolongan daripada Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu, padahal mereka (sebenarnya) tidak menyesatkan melainkan diri mereka sendiri, dan mereka tidak menyedarinya. (69)” [Surah Ali ‘Imran: 67–69]

Mereka yang buta al-Quran sahaja boleh menerimanya. Mereka adalah daripada kalangan yang disifatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

ٱلۡأَعۡرَابُ أَشَدُّ كُفۡرٗا وَنِفَاقٗا وَأَجۡدَرُ أَلَّا يَعۡلَمُواْ حُدُودَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ ٩٧

“Orang-orang Arab Badwi itu lebih sangat kekafiran dan kemunafikan mereka, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 97]

Mereka yang berasal daripada kalangan Arab Badwi dikejutkan dengan kekayaan hidup di padang pasir yang terpencil. Mereka menjalani kehidupan yang bermasalah dalam lingkungan alam yang tandus, jauh daripada sebab-sebab kemajuan, dan jauh daripada bimbingan para ulama’, sehingga mereka jarang mendapatkan pelajaran mengenai al-Quran dan hadis. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan apabila mereka tidak mengetahui hukum-hakam yang telah diturunkan Allah kepada Rasul-Nya.

Penjajah menjadikan kalangan yang buta agama itu lebih mudah diperkudakan bagi merosakkan umat Islam dari dalam melalui perbezaan bangsa dan mazhab, masalah khilafiah dalam satu mazhab, atau perbezaan kabilah dalam satu bangsa daripada kalangan umat Islam untuk diadudombakan. Di samping itu, masalah sempadan yang menjadi rebutan dan kawasan hasil bumi juga semuanya dijadikan batu api yang menimbulkan pertelingkahan sehingga mencetuskan peperangan.

Mereka menjadi proksi yang dicatur dengan menggunakan kewangan hasil tanah air kita yang telah dicuri, ditipu, dan dirompak bagi membayar senjata yang dibekalkan mereka dengan bayaran kita.

Hakikatnya, hubungan persaudaraan Islam melalui ibadat haji adalah sekali-kali tidak boleh dihapuskan. Di samping itu, peranan media yang hilang sempadannya di langit terbuka telah menyedarkan manusia dengan terdedahnya kejahatan mereka yang terkoyak dengan kerakusan harta dan pengaruh kuasa.

Kejahilan dan ketamakan harta mencetuskan perpecahan dalam kalangan mereka. Firman Allah SWT yang mengoyakkan topeng mereka:

… تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤ كَمَثَلِ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ قَرِيبٗاۖ ذَاقُواْ وَبَالَ أَمۡرِهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ١٥ كَمَثَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَٰنِ ٱكۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦

“…Kamu kira mereka itu bersatu, sedangkan hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (14) (Mereka ialah) seperti orang-orang Yahudi yang belum lama sebelum mereka telah merasai akibat buruk daripada perbuatan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih. (15) Seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia, ‘Kafirlah kamu,’ maka tatkala manusia itu telah kafir, dia pun berkata, ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam.’ (16)” [Surah al-Hashr: 14–16]

Penipu tidak selama-lamanya berjaya menipu. Akhirnya, terdedah juga kejahatan mereka dan pasti akan menerima akibat daripadanya.

Inilah pusingan sejarah alam yang pasti berlaku. Firman Allah SWT:

… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١

“…Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” [Surah al-Baqarah: 251]

Wilayah Asia Barat (dunia Arab) sentiasa menjadi sasaran kerana sebab-sebab agama, politik, dan ekonomi yang menjadi pertembungan dalam kalangan manusia serta menjadi sunnah alam dan ketetapan Allah.

Kedudukan dari segi geografi dan penemuan tiga benua besar yang paling bermasyarakat juga mencetuskan pertembungan, khususnya kawasan kelahiran ramai anbiya’ yang membawa Islam yang ditentang oleh semua kuasa yang zalim.

Begitu juga kedudukan dua tanah suci, iaitu Makkah dan Bait al-Maqdis yang menjadi pusat agama samawi serta tempat kelahiran para rasul dan anbiya’. Kedudukannya pula di tengah-tengah kuasa besar timur dan barat sejak dahulu kala sehingga kini yang menjadi sumber kegiatan politik dan ekonomi, sehingga kuasa-kuasa besar itu berlumba-lumba mencetuskan peperangan dunia yang besar dalam sejarah.

Di samping itu, kedudukan wilayahnya menjadi pusat dan pangkalan hadapan kepada Islam pada akhir zaman, menjadikannya paling menjadi sasaran kepada seluruh dunia sejak Islam menjadi kuasa besar tunggal sehinggalah kehilangannya.

Kejatuhan kuasa besar Islam melalui politik adu domba serta pecah dan perintah ialah ketika kelemahan umat Islam berpegang dengan agama mereka, sebagaimana yang telah diberikan amaran oleh Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالإِسْلَامِ، فَمَهْمَا ابْتَغَيْنَا الْعِزَّةَ بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا بِهِ اللَّهُ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

“Kita ialah umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam. Sekiranya kita berpegang kepada yang lain daripada Islam kurniaan Allah, nescaya kita dihukum menjadi hina.” [Sa‘id Hawwa, al-Asas fi al-Tafsir, jld. 1, hlm. 179]

Oleh itu, semangat kebangkitan semula kepada Islam mengembalikan semula keperkasaan umat Islam.

Langkah pemulihan diplomatik antara Saudi dengan Iran yang berlainan bangsa dan mazhab dalam satu agama Islam telah memulihkan ketegangan serantau secara khusus dan dalam kalangan umat Islam secara umum yang berbeza mazhab dan bangsa, selain memberikan nafas baharu kepada umat Islam dan Arab yang berpecah.

Langkah ini adalah penting dalam menghadapi perancangan Zionis dan penjajah yang melakukan adu domba di beberapa negara Arab dan Islam melalui peperangan proksi di Sudan, Yaman, Libya, dan Syria, di samping mengadakan peta baharu dan penubuhan negara baharu yang dipecahkan di Somalia serta mengembalikan negara komunis yang pernah ditegakkan di Yaman selama beberapa dekad.

Israel sebagai negara pertama yang mengiktiraf negara Somaliland dan sedia bersama dalam aspek politik, ekonomi, dan keselamatannya menandakan penglibatan musuh yang nyata dan menjadi ancaman kepada negara serantau.

Tindakan yang sama dilakukan oleh negara jahiliah penganjur agama baharu Abraham dan penganjur perdamaian dengan penglibatan Zionis. Lebih menyesatkan apabila mereka mendukung negara komunis yang berideologi tidak percaya kepada semua agama dan tidak beriman akan adanya Tuhan Pencipta alam, menandakan betapa jahilnya mereka.

Maka, langkah tahaluf Saudi menyerang kumpulan kiri yang dikembalikan semula di Yaman Selatan ialah satu kebijaksanaan politik yang wajib disokong.

Segala-gala yang dilakukan oleh agenda Zionis dan sekutunya ialah lakaran peta baharu Asia Barat setelah lapuknya peta lama Sykes-Picot.

Cukuplah peringatan Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ ١٠٠

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian daripada orang yang diberikan al-Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman!” [Surah Ali ‘Imran: 100]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Rajab 1447 / 13 Januari 2026

 harakahdaily 

Blog ini didedikasikan kepada Tun M bermula julai 2024 sebagai fokus utama. Memberi ruang untuk memuatkan sesuatu tentang pemikiran, sikap, tindakan, tulisan, pandangan dari seorang yang cukup berharga untuk negara ini. Semoga memberi sesuatu kepada pembaca.

Comments