Sunday, 13 November 2022

UMNO dah sesat

 UMNO dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan: Khairy


Khairy Jamaluddin Abu Bakar meneruskan kritikan pedas terhadap pemimpin atasan parti apabila mendakwa UMNO kini sudah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Calon Parlimen Sungai Buloh itu yang sebelum ini lantang terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan dan pembaharuan segera perlu diambil bagi memulihkan parti.

“Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

“Saya nak menang PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Selepas itu kita bersihkan semula UMNO serta bawa balik keyakinan rakyat.

“Saya ini reformis dalam UMNO dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh. Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah.

“Sebab itulah pertaruhan saya kali ini bukan semata-mata untuk Sungai Buloh sahaja tetapi untuk masa depan negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kalau saya menang insya-Allah kita boleh melihat perubahan besar. Bermula dari Sungai Buloh dan berakhir ke Putrajaya,” katanya dipetik laporan BH Online.

Menteri kesihatan itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Rahman Putra malam tadi.

Untuk rekod, Khairy sebelum ini dilihat agak lantang terhadap Zahid, ia selepas pendedahannya sebelum ini yang hanya diberikan kerusi Parlimen Sungai Buloh pada saat akhir selepas terpaksa memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan di Rembau, kerusinya disandangnya selama tiga penggal.

Bagaimanapun, Khairy juga meminta media supaya tidak melaga-lagakan beliau dengan Zahid.

“Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya.

“Saya dan rakan lain mahu kembalikan Umno sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu,” katanya lagi.

 


 

No comments:

Post a Comment

𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚

     𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚 1-Saya gembira Ketua Polis Negara (KPN) telah memberi amaran kepada polis yang menjaga VVIP ...