Saturday, 31 December 2022

penyelamat bangsa

 

Dr. Mahathir Penyelamat Bangsa

Oleh: DATUK NOR MOHAMED YAKCOP
Peluang yang terbuka ekoran langkah-langkah 1 September 1998 bukan sahaja memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus bertahan dalam krisis, malah Malaysia muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mapan. Tidaklah sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya Dr. Mahathir Mohamad tidak berani membuat keputusan tersebut.
Sekiranya Malaysia tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing terpilih pada bulan September 1998, sebahagian besar syarikat perniagaan akan menjadi bankrap. Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan tanggungan hutang mereka. Apabila mereka jatuh seperti domino, bank-bank akan runtuh kerana NPL yang terlalu besar. Apabila bank-bank runtuh, kekangan kredit akan menjadi lebih parah, menyebabkan syarikat-syarikat yang sedia maju tidak mendapat pinjaman. Perniagaan mereka akan menguncup dan akhirnya mereka juga akan terjejas teruk.
Akibat kegagalan bank dan korporat, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara dan seterusnya satu lagi kitaran kegagalan syarikat dan bank akan menyebabkan satu lagi pusingan pengangguran. Inilah apa yang dikatakan kitaran ganas. Apabila jumlah pengangguran meningkat, jalinan sosial di Malaysia akan terungkai dan seterusnya menyebabkan kegawatan sosial dan politik. Ini akan menyebabkan dana dari luar tidak masuk ke Malaysia, kerana pelabur asing tidak akan masuk ke sebuah negara yang tidak menentu kestabilan sistem politiknya. Dalam tahun 1998, senario ini adalah satu bencana yang menunggu masa untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana rejim kawalan pertukaran asing terpilih dilaksanakan pada 1 September 1998.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan analisis di atas. Antara hujah mereka ialah negara lain di rantau ini juga semakin pulih, walaupun mereka tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing. Apa yang sering mereka lupa ialah negara-negara jiran kita kembali pulih kerana Malaysia melaksanakan kawalan pertukaran asing. Biar saya jelaskan. Beberapa bulan sebelum 1 September 1998, pengurus hedge funds dan lain-lain manipulator mata wang sedang merancang untuk menyerang sekali lagi mata wang negara-negara di rantau ini. Sasarannya ialah untuk melemahkan kadar ringgit kepada RM5 bagi setiap AS$1, dan mengambil tindakan yang sama terhadap mata wang Thai, Indonesia dan Korea.
Mereka telah pun mula melaksanakan rancangan ini sedikit demi sedikit. Apabila Malaysia secara mengejut melaksanakan kawalan pertukaran asing pada 1 September 1998, mereka panik dan bukan sahaja membeli semula ringgit, tetapi juga mata wang negara-negara rantau ini. Yang paling penting, mereka terpaksa membatalkan rancangan serangan tersebut dan tidak berani membuat serangan sedemikian sehingga sekarang. Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa langkah Malaysia mengawal mata wang asingnya bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia tetapi juga negara-negara di rantau ini.
Satu lagi kesan positif kepada Korea Selatan, Thailand dan Indonesia berikutan langkah-langkah kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan Malaysia ialah sikap IMF dan negara-negara Barat. Atas sebab-sebab yang telah kita ketahui, IMF dan lain-lain negara Barat tidak mahu kawalan mata wang asing Malaysia berjaya kerana kejayaan langkah berkenaan akan menjejaskan kredibiliti dasar globalisasi dan pasaran bebas yang mereka perjuangkan.
Oleh itu bagi mereka, adalah penting Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, yang tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing dan sebaliknya menerima bantuan IMF, menghasilkan kejayaan yang jauh lebih baik daripada Malaysia. Tindakan mutakhir IMF dengan menurunkan kadar faedah di ketiga-tiga negara ini membuktikannya. Bagi Malaysia, lebih banyak bantuan yang diberikan oleh IMF kepada negara-negara ini adalah lebih baik.
Kenyataan ini bukan sahaja dari segi kemanusiaannya iaitu ingin melihat jiran kita makmur, tetapi juga dari segi kepentingan negara kerana kemakmuran jiran-jiran kita akan meningkatkan perdagangan serantau dan kestabilan politik serantau yang akan menguntungkan Malaysia.
Pendek kata, langkah kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan pada bulan September 1998 bukan sahaja menyelamatkan Malaysia daripada bencana tetapi juga negara-negara lain di rantau ini dengan menakut-nakutkan spekulator dan manipulator selain daripada memberi tekanan kepada IMF dan negara-negara Barat untuk melaksanakan pendekatan yang lebih akomodatif di Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Kemenangan Malaysia It was the worst of times. It was the best of times. Ungkapan ini mungkin diucapkan oleh penyair untuk menggambarkan tempoh dua tahun yang diharungi negara mulai Julai 1998 apabila krisis kewangan di Asia mula menunjukkan belangnya. Ia adalah satu tempoh yang paling buruk berikutan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia semasa melalui tempoh ini.
Ia juga adalah satu tempoh yang paling menarik kerana ia melahirkan beberapa kualiti terbaik rakyat Malaysia untuk membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah satu jalinan masyarakat yang kukuh dan mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk menerima gegaran dan kejutan, bahkan tabah menghadapinya.
Kini kita telah berjaya memulihkan ekonomi Malaysia berkat ikhtiar kita sendiri. Kita tidak menerima satu sen pun daripada IMF sebagai bantuan Dana IMF yang bernilai AS$180 bilion.
Indeks Komposit BSKL Prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang mengalami penurunan harga yang berterusan sejak bulan Mac 1998 sehingga mencecah tahap terendah dalam 10 tahun telah bertukar arah aliran dan terus naik dengan kadar yang menggalakkan sehingga mencecah tahap tertinggi sejak 19 bulan yang lalu pada bulan Mei 1999.
Kenaikan ini membuktikan pemulihan keyakinan para pelabur terhadap prestasi pasaran saham negara. Kenaikan Indeks Komposit BSKL sejak 1 September 1998 sehingga 15 Mei 1999 adalah sebanyak 192%. Kenaikan nilai pasaran saham BSKL dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 150%.
Rizab Antarabangsa BNM Pada 1 September 1998, rizab antarabangsa BNM adalah sebanyak AS$20.2 bilion. Kini jumlah tersebut telah mencecah AS$29.6 bilion pada 15 Mei 1999. Bilangan bulan import tertangguh berada pada tahap 3.8 bulan pada 1 September 1998 dan meningkat kepada 6.5 bulan pada pertengahan bulan Mei 1999 berikutan peningkatan dalam jumlah rizab.
Kekosongan jawatan Berikutan penguncupan aktiviti ekonomi, pasaran buruh mengalami kemerosotan dalam tahun 1998 dan bilangan kekosongan jawatan yang terdapat dalam pasaran kerja adalah sebanyak 4,244 jawatan dalam bulan Oktober 1998. Ia meningkat semula kepada 7,881 jawatan pada bulan April 1999, yang menggambarkan kesanggupan lebih ramai majikan untuk mengambil pekerja berikutan prospek ekonomi yang bertambah baik.
Pemberhentian pekerja Pemberhentian pekerja merupakan satu fenomena yang sering melanda negara yang menghadapi krisis ekonomi. Angka pemberhentian pekerja yang sebelum ini menunjukkan keadaan yang membimbangkan pada bulan Julai 1998, iaitu seramai 12,335 orang telah mencapai tahap terkawal iaitu seramai 4.311 orang pada bulan April 1999.
Urus niaga hartanah Peratus perubahan tahunan urus niaga hartanah yang sebelum ini berada pada tahap negatif sepanjang tahun 1998 telah berjaya mencecah kawasan positif menjelang awal 1999.
Indeks harga pengguna Indeks harga pengguna digunakan sebagai penunjuk kadar inflasi negara. Kadar inflasi negara berada pada tahap 5.6% di awal bulan September 1998 dengan indeks harga makanan mencecah 9.9%. Kadar ini semakin berkurangan selepas kawalan pertukaran asing dilaksanakan dan telah menurun kepada 2.9% pada bulan April 1999.
Indeks sentimen perniagaan MIER Indeks sentimen perniagaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bagi suku pertama 1999 naik 3.8 mata kepada 48.5 mata. Jika dibandingkan dengan suku ketiga 1998, iaitu sebelum kawalan pertukaran asing diperkenalkan, indeks tersebut naik sebanyak 7.3 mata.
Indeks sentimen pengguna MIER Indeks sentimen pengguna MIER menunjukkan peningkatan berterusan daripada tahap terendah 79.1 mata dalam suku kedua 1998, kepada 84 mata dalam suku pertama 1999. Ini merupakan petanda yang baik bagi perbelanjaan pengguna serta menggambarkan pemulihan keyakinan pengguna yang membawa kepada kesanggupan mereka untuk berbelanja. Kaji selidik oleh MIER turut menunjukkan lebih banyak perniagaan mengalami peningkatan jualan dalam suku pertama 1999.
Jualan kereta penumpang Jualan kereta penumpang menggambarkan keadaan yang amat menggalakkan. Ia terus mencatatkan angka yang semakin tinggi sejak bulan Februari 1998. Pada bulan Mac 1999, jualan kereta penumpang adalah sebanyak 20,694 unit berbanding 13,701 unit pada bulan September 1998.
Eksport kasar dan import kasar Eksport kasar Malaysia telah mencatatkan angka yang semakin meningkat. Pada bulan September 1998, eksport kasar dan import kasar adalah sebanyak AS$5.8 bilion dan AS$4.3 bilion. Kenaikan yang ketara dapat dilihat dalam bulan Mac 1999 apabila kedua-dua angka tersebut masing-masing meningkat kepada AS$6.8 bilion dan AS$5 bilion. Kadar kenaikan eksport kasar negara adalah lebih tinggi berbanding kadar kenaikan import kasarnya.
Eksport kasar: Perbandingan serantau Keadaan eksport Malaysia berada pada tahap paling rendah berbanding negara Korea, Indonesia dan Thailand sebelum pengenalan kawalan pertukaran asing pada bulan September 1998. Eksport negara semakin meningkat dengan ketara selepas itu berbanding peningkatan eksport negara-negara lain yang agak sederhana.
Semenjak bulan November 1998, Malaysia sudah pun berada di hadapan, dan pada bulan Januari 1999 Malaysia berjaya mencatatkan kadar perubahan tahunan yang paling tinggi iaitu pada 11.9%.
Perubahan suku tahunan KDNK Perubahan suku tahunan KDNK merekodkan kemerosotan yang paling ketara dalam suku ketiga 1998 iaitu negatif 9.0%. Ia pulih dalam suku keempat dan mencatatkan perubahan negatif 8.1%. Pada tahun 1999, kita menjangka kadar ini akan mencatatkan perubahan positif.
Iktibar daripada krisis Ekonomi Malaysia sudah pun mulai pulih, Alhamdulillah. Tetapi ini bukanlah masa untuk kita berpesta. Kita mesti mengambil iktibar secukupnya daripada krisis ini supaya kita akan lebih bersedia di masa hadapan. Apakah pengajaran yang boleh kita cedok?
Saya berpendapat pengajaran pertama ialah kita hendaklah belajar untuk bersyukur di atas kemakmuran yang dianugerahkan kepada negara sejak 40 tahun yang lalu. Tempoh kemakmuran terakhir adalah selama lebih 10 tahun. Kemudian kita diuji selama dua tahun untuk melihat sama ada kita tabah dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan sebelum ini.
Dari pemerhatian saya, rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan penggubal dasar ekonomi negara untuk menangani krisis kewangan ini. Justeru itu, saya berpendapat kita perlu banyak bersyukur kerana krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang kita alami tidak sampai ke tahap sebuah negara jiran lain yang telah mengakibatkan perubahan drastik terhadap struktur politik, sosial dan ekonomi negara tersebut. Sama ada perubahan tersebut akan menghasilkan natijah yang positif atau sebaliknya, kos yang terpaksa dipikul oleh rakyat negara itu amatlah mahal.
Kedua, kita perlu mempersiapkan dan memperlengkapkan diri supaya kita mempunyai daya ketahanan yang cukup kuat untuk menangkis dan menangani krisis-krisis kewangan dan ekonomi yang berlaku pada masa hadapan. Kita perlu sedar bahawa kebanyakan krisis kewangan dan krisis ekonomi kadangkala adalah di luar kawalan kita. Ia muncul dengan tiba-tiba dalam bentuk dan pola yang sukar diramalkan. Apa yang mustahak ialah jika berlaku krisis, kita mesti mempunyai keyakinan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil dengan syarat ia dilakukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.
Kita telah melakukannya, malah berjaya melaluinya, sekali gus membuktikan bahawa sekiranya kita bekerja bersungguh-sungguh secara teratur, berstrategi dan terancang, adalah tidak mustahil untuk menentang lawan kita yang jauh lebih gagah dan perkasa daripada kita.
Saya ingin menyentuh mengenai kawalan pertukaran asing terpilih. Apabila kita memperkenalkan peraturan ini pada 1 September 1998, reaksi spontan daripada masyarakat antarabangsa amatlah keras. Penganalisis dan pegawai-pegawai negara maju memberi amaran bahawa para pelabur asing tidak akan kembali ke negara yang memberi layanan buruk kepada pengurus-pengurus dana. Kita hanya bersabar dengan kritikan-kritikan tersebut sambil menerangkan sebab-musabab kita melakukannya.
Sekarang, komen dan ulasan yang kita terima daripada mereka kini berbeza. Apabila kita mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang positif, disokong pula dengan lebihan dagangan yang begitu besar, mereka mengatakan bahawa dasar kawalan pertukaran asing bukanlah faktor penyebabnya tetapi dasar-dasar ekonomi lain yang menyebabkan keyakinan kembali pulih.
Pandangan tersebut adalah pandangan-pandangan cetek bertujuan untuk merendah-rendahkan kejayaan kita. Apa pun, kita tidak mengharapkan apa-apa pujian daripada mereka kerana kita melakukannya bukan untuk mendapat pujian atau untuk memuaskan hati mereka. Kita melakukannya kerana kita tahu bahawa apa yang kita lakukan adalah langkah yang tepat demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Ketiga, sikap yang perlu kita miliki ialah kebijaksanaan dan sentiasa berfikir untuk jangka panjang. Kebijaksanaan dapat mengatasi ketamakan yang tidak bertepi dan kebimbangan yang tidak berasas. Ketamakan adalah salah satu naluri manusia yang hanya boleh dikawal dengan kekuatan dalaman.
Pada hemat saya, para spekulator dan manipulator antarabangsa mempunyai nafsu tamak yang tidak terbatas kerana mereka sanggup mengetepikan nilai-nilai moral dan kemanusiaan dan kesan politik dan sosial yang mungkin timbul akibat tindakan mereka. Para pelabur jangka pendek antarabangsa cepat bimbang kerana dipengaruhi oleh tekanan persekitaran. Kejatuhan BSKL pada akhir 1997 dan 1998 adalah kesan kebimbangan tidak berasas ini. Kita hendaklah memastikan bahawa kita tidak memiliki kedua-dua sifat yang tidak beretika ini.
Kebijaksanaan berkait rapat dengan persoalan nilai. Dalam kita mengejar kemewahan hidup, kita kadangkala lupa untuk menghubungkaitkan kehidupan kita dengan nilai. Nilai sesuatu bangsa diukur dengan kekuatan bangsa tersebut meningkatkan taraf hidupnya secara kolektif dan ukuran yang digunakan ialah budaya kerja dan kekuatan dalaman sesuatu bangsa itu. Kesungguhan, kerajinan, keazaman dan disiplin yang kuat merupakan antara nilai-nilai universal yang menjadi prasyarat kepada kejayaan sesuatu bangsa.
Namun, nilai-nilai ini tidak akan mencapai hakikat sebenarnya sekiranya ia disandarkan kepada kejayaan individu semata-mata. Kejayaan tersebut hendaklah turut disandarkan kepada konsep bahawa kejayaan individu akan turut menyumbang kepada kejayaan negara.
Sekiranya kita diberikan kebijaksanaan untuk berbuat sesuatu, kita harus memikirkan kesannya kepada negara dan apakah sumbangan terbaik dapat kita berikan kepada negara agar rakyat akan turut menikmatinya.
Keempat, kita hendaklah bekerja keras untuk meningkatkan kekayaan sebenar. Kenaikan pasaran saham hendaklah direnungi secara bijaksana. Kita hendaklah faham bahawa kenaikan pasaran saham adalah salah satu insentif untuk meningkatkan kekayaan sebenar yang hanya boleh dicapai melalui perniagaan, perdagangan dan seumpamanya. Kekayaan di atas kertas, walau bagaimana banyak sekalipun, bukanlah ukuran mutlak kepada kekayaan negara. Negara hanya akan kaya apabila rakyat memiliki kekayaan sebenar. Ini bermakna kita perlu meningkatkan produktiviti dalam semua sektor ekonomi kerana ukuran kekayaan negara adalah berasaskan pencapaian sebenar sektor-sektor ini.
Kelima, krisis tersebut hendaklah menjadikan kita lebih matang dalam menanggapi perubahan dalam struktur sistem kewangan di Malaysia. Selain daripada iltizam untuk mempertingkatkan kualiti sistem kewangan, kita juga hendaklah sedar bahawa saiz model kini adalah satu faktor yang amat penting dan kritikal. Risiko kredit yang ditanggung oleh sebuah institusi kewangan yang besar dan kukuh adalah jauh lebih kecil dan selamat berbanding dengan risiko kredit yang perlu ditanggung oleh sebuah institusi kewangan yang kecil. Kejutan terhadap sistem kewangan akan memberi impak yang lebih serius kepada institusi kewangan kecil berbanding institusi kewangan besar.
Justeru itu, apabila Bank Negara Malaysia menekankan kepada penggabungan dan saiz modal yang besar, termasuk untuk syarikat-syarikat insurans, ia bertujuan untuk melindungi institusi kewangan berkenaan, para pemegang sahamnya dan para pelanggannya.
Krisis kewangan yang berlaku mendedahkan betapa banyak institusi kewangan kecil tidak dapat menyerap NPL yang terwujud berikutan krisis tersebut yang seterusnya menyebabkan modal mereka terhakis dengan cepat. Selain itu, krisis turut mengajar kita bahawa kita tidak boleh berkompromi kepada objektif kita untuk memastikan hanya pengurusan yang cekap dan bermoral, ketelusan dan kawalan dalaman yang berkesan diwujudkan dalam semua institusi kewangan. Walaupun pengkritik-pengkritik mendakwa sistem kewangan Malaysia tidak berhemat atau cekap, kita tidak perlu melatah; sebaliknya kita mesti membuktikan bahawa dakwaan mereka ini tidak berasas.
Pengajaran keenam yang boleh kita ambil iktibar ialah proses globalisasi tidak semestinya membawa kemakmuran kepada kesemua negara di dunia ini. Di peringkat awal, pembukaan halangan perdagangan, dasar perniagaan mata wang yang bersifat antarabangsa dan aliran modal jangka pendek yang tidak terbatas dianggap satu perkara yang membawa manfaat kepada negara maju dan negara membangun.
Namun apa yang baik kepada negara maju tidak semestinya baik untuk negara membangun. Krisis kewangan, yang hanya membabitkan negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, membuktikan tesis ini dengan jelas. Ini bermakna proses globalisasi yang dicanangkan oleh Barat perlu diselidiki secara halus dan bijaksana sebelum kita menerimanya bulat-bulat.
Setiap proses pasti mempunyai elemen-elemen positif dan negatifnya. Kita perlu berhati-hati supaya kita tidak terperangkap dalam retorik mereka. Malah Barat masih bersikap hipokrit dalam isu ini.
Ketika mereka seolah-olah bersetuju dengan desakan negara membangun bahawa hedge funds perlu lebih telus, pada masa yang sama mereka berhujah adalah tidak wajar hedge funds dikawal selia dengan lebih ketat kerana modal jangka pendek adalah baik untuk negara membangun kerana ia boleh menstabilkan ekonomi.
Ini adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal kerana kita mempunyai begitu banyak bukti di rantau ini tentang kerosakan begitu destruktif yang dilakukan oleh hedge funds dan modal jangka pendek. Adalah jelas, negara-negara Barat tidak akan tunduk kepada desakan negara membangun jika tindakan tersebut akan menjejaskan para pemodal mereka yang berpengaruh.
Kesimpulan Sungguhpun kita telah berjaya memulihkan ekonomi negara, kita tidak boleh berlapang dada. Perjalanan masih jauh. Tugas kita masih banyak lagi. Kita perlu memakmurkan kembali Malaysia agar ia dapat mencapai taraf negara maju, membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi, dan menjana satu budaya bangsa yang murni, sanggup bekerja keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup.
Kejayaan kita dalam pertembungan antara globalisasi dan kawalan modal adalah satu pencapaian yang boleh kita banggakan, kerana kita dapat mengelak daripada menjadi negara penerima Dana IMF. Tetapi kita harus bersedia setiap masa dan sentiasa beringat setiap waktu supaya krisis yang sama sekiranya datang kembali boleh ditangani dengan pendekatan dan langkah-langkah yang matang dan kreatif.
 
arkib 30 Mei 1999
 
 May be an image of 22 people

No comments:

Post a Comment

𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚

     𝗠𝗘𝗠𝗔𝗧𝗨𝗛𝗜 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚 1-Saya gembira Ketua Polis Negara (KPN) telah memberi amaran kepada polis yang menjaga VVIP ...